LATAR BELAKANG
Hospital Rehabiltiasi Cheras merupakan suatu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) dan menelan keseluruhan kos berjumlah RM342 juta.
Hospital ini menjadi pusat kecemerlangan dan pusat rujukan nasional untuk perkhidmatan Perubatan Rehailitasi di samping menjadi satu-satunya kemudahan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan sedemikian di rantau Asia Tenggara.
Kedudukannya yang strategik di pinggir ibu kota Kuala Lumpur memudahkan para pesakit dan orang awam untk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan. Sungguhpun terletak berhampiran dengan kota metropolitan, namun ia jauh dari hingar bingar kota. Hospital Rehabilitasi Cheras juga terkenal sebagai “Hospital Dalam Taman” – penekanan khusus diberikan kepada aspek kehijauan dan penyediaan taman terapeutik dalam perancangan dan pembinaannya.
Selain daripada persekitaran yang menghijau, pelbagai teknologi hijau turut diterapkan dalam rekaan dan binaan bangunan hospital. Hospital ini merupakan hospital yang pertama di Malaysia yang dibina menggunakan teknologi “Industrialised Building System” yang membolehkan pembinaan dijalankan dengan efisien, di samping mengurangkan kos dan tenaga buruh.
Hospital Rehabilitasi Cheras juga merupakan hospital yang pertama di negara ini yang mengambil kira aspek kecekapan tenaga (energy-efficiency) dan reka bentuk mampan dalam pembangunan keseluruhan projek ini. Kebanyakan bahagian dalam bangunan hospital menggunakan elemen semula jadi sebagai sumber pencahayaan dan untuk menyejukkan bangunan.
Hospital Rehabilitasi Cheras mula beroperasi pada 2 Julai 2012 dan menyediakan perkhidmatan rehabilitasi pesakit dalam dan pesakit luar. Hospital ini mempunyai enam wad dan 166 katil. Kapasiti ini boleh dikembangkan sehingga 300 katil pada masa akan datang.