PENGENALAN
- Penubuhan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras adalah selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia melalui Surat Pekeliling Kementerian Kesihatan Bil. 2/ 2006. Peranan Lembaga Pelawat amat jelas dalam membantu pihak hospital dalam urusan hal ehwal kebajikan pesakit mahupun anggota hospital sendiri.
Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras buat pertama kalinya telah dilantik pada Tahun 2019 seramai 20 orang daripada pelbagai latar belakang. Mereka memainkan peranan penting dari segi penganjuran dan pelaksanaan aktiviti- aktiviti mahupun projek- projek kebajikan untuk pesakit dan pelanggan dalaman iaitu anggota hospital. Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras sentiasa bersepakat dalam memberikan bantuan kewangan dan pembelian peralatan untuk kegunaan pesakit dan juga untuk kebajikan anggota hospital. Kerjasama yang erat dan komitmen yang tinggi antara pihak Pengurusan Hospital Rehabilitasi Cheras dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital begitu jelas dalam merealisasikan semua perancangan aktiviti mahupun projek untuk kebajikan pesakit dan anggota hospital berjaya dilaksanakan.
Antara peranan Lembaga Pelawat Hospital adalah:
- Menjadi penghubung antara hospital dan pelanggan / komuniti;
Bertindak sebagai penghubung dan mengeratkan hubungan antara Hospital dan komuniti. Ahli Lembaga boleh memainkan peranan perhubungan awam yang positif dengan memberi penerangan yang jelas kepada orang awam mengenai kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital serta masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak hospital dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Dengan cara ini imej dan peranan sesebuah hospital akan dapat diperbaiki dan perkhidmatan Lembaga Pelawat akan disanjung tinggi.
- Mengadakan lawatan ke hospital (setiap bulan);
Mengadakan lawatan ke hospital dan mendapakan maklum balas mengenai perkhidmatan yang diberikan di Hospital kepada pesakit dan waris, masalah yang dihadapi oleh pesakit dan waris dan kebajikan yang boleh dilaksanakan bagi membantu pesakit dan waris. Ahli lembaga hendaklah menyediakan laporan mengenainya selepas setiap lawatan dan membincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pelawat.
- Perkhidmatan kebajikan kepada pesakit dan hospital;
Memberi perkhidmatan kebajikan kepada pesakit-pesakit dan Hospital. Ahli Lembaga juga boleh secara peribadi menyumbangkan atau mendapatkan bantuan kewangan misalnya untuk membaiki surau, menyediakan seni taman, tempat pesakit berehat dan sebagainya. Perkhidmatan sebegini akan dapat memberikan sumbangan positif daripada Ahli Lembaga Pelawat.
- Melibatkan diri dan masyarakat dalam aktiviti hospital;
Melibatkan diri dalam aktiviti Hospital dengan komuniti seperti kempen menderma darah, kempen anti merokok dan sebagainya. Ahli lembaga boleh mengatur program-program berkaitan untuk membantu Hospital menjayakan program-program yang membina.
- Mencadangkan penambahbaikan prestasi kakitangan;dan
- Ahli ‘Medical Inquiry Committee’
EKSPEKTASI
- Seseorang itu boleh dilantik menjadi ahli untuk satu lembaga pelawat hospital.
- Segala urusan mendapatkan rawatan di Hospital perlu dibuat sendiri oleh pesakit atau keluarga pesakit dengan pihak Hospital. Ahli Lembaga Pelawat tidak boleh menguruskan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Hospital. Walaubagaimanapun cadangan dan isu-isu yang ingin dikemukakan boleh dibuat melalui pro.hrc@moh.gov.my atau ketika Mesyuarat Ahli Lembaga Pelawat Hospital diadakan.
- Ahli Lembaga Pelawat adalah dilantik bagi tempoh 3 tahun dan penamatan lantikan semua ahli adalah pada 31 Disember.
- Ahli Lembaga Pelawat boleh disambung keahliannya dengan persetujuan YB Menteri Kesihatan berdasarkan sumbangan yang aktif dan memuaskan.
- Ahli-ahli Lembaga Pelawat boleh dilantik semula untuk tempoh tiga tahun lagi.
- Seelok-eloknya lawatan hendaklah di buat sebulan sekali tetapi jika ini tidak dapat dilaksanakan maka lawatan hendaklah dibuat tidak kurang 3 bulan sekali.
- Bilangan Ahli Lembaga dalam setiap kumpulan hendaklah tidak melebihi 5 orang setiap kumpulan.
- Ahli Lembaga tidak dibenarkan menghantar wakil dalam apa juga keadaan.
- Ahli Lembaga adalah dilarang membuat sebarang kenyataan dalam akhbar berkaitan dengan hasil lawatannya.
- Jadual lawatan hendaklah disediakan terlebih dahulu dan dikongsikan kepada semua Ahli Lembaga dan Pengurusan Hospital.
- Semasa Ahli Lembaga membuat lawatan di Hospital, Pengarah atau Timbalan Pengarah, Ketua Jururawat, Penyelia Hospital dan seorang doktor / pakar yang ditentukan oleh Pengarah Hospital hendaklah turut serta.
- Keahlian dalam Lembaga Pelawat adalah secara sukarela. Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan membayar elaun sebanyak RM100.00 kepada ahli-ahli yang menghadiri setiap kali Mesyuarat Ahli Lembaga Pelawat. Bilangan mesyuarat hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 4 kali setahun dan tidak melebihi 12 kali setahun.