Search
Search

UNIT REHABILITASI NEUROLOGI

PENGENALAN

Unit Rehabilitasi Neurologi, Hospital Rehabilitasi Cheras menyediakan perkhidmatan rehabilitasi komprehensif untuk meningkatkan tahap fizikal, kognitif, kemampuan komunikasi dan interaksi sosial seseorang individu yang mengalami masalah neurologikal.


FUNGSI UMUM UNIT REHABILITASI NEUROLOGI

Unit Rehabilitasi Neurologi memberi perkhidmatan perubatan rehabilitasi bagi individu yang mengalami strok iskemik dan masalah neurologikal yang melibatkan bahagian otak, saraf dan otot seperti Guillain-Barre syndrome, spinocerebellar ataxia, motor neuron disease, multiple sclerosis, neuromyelitis optica polyneuropathy, muscular dystrophy, adult cerebral palsy, Parkinson Disease, Parkinson Plus Syndrome dan lain-lain masalah neurologikal bagi golongan dewasa.

Program perawatan Rehabilitasi Neurologi dirangka khas bagi memastikan seseorang individu menerima manfaat penuh melalui pendekatan rehabilitasi melibatkan pelbagai disiplin (anggota interdisiplinari) untuk mencapai potensi yang optimum. Pesakit yang dirujuk akan menerima penilaian lengkap oleh anggota interdisiplinari yang terlatih di dalam bidang rehabilitasi neurologi.  Ini termasuk penilaian fizikal, kognitif, kefungsian, emosi, serta keperluan spesifik termasuk penilaian vokasional dan keperluan alatan rehabilitasi. Pelbagai pendekatan dan intervensi termasuk terapi dan prosedur khas yang berpandukan bukti saintifik dimanfaatkan bagi memacu pesakit ke arah mencapai tahap kefungsian and keberdikarian yang tinggi. Antara perkhidmatan yang ditawarkan meliputi Spasticity & Dystonia Management, Ataxia Management, Flexible Endoscopic Evaluation of Swallowing (FEES), preskripsi ortosis, Return-to-Work and Return-to-Drive dan lain-lain lagi.


PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH UNIT REHABILITASI NEUROLOGI

Perkhidmatan Pesakit Luar disediakan di Klinik Pakar Rehabilitasi Neurologi yang menerima rujukan pesakit luar dari hospital dan klinik kerajaan serta rujukan dari pihak swasta dari seluruh negara. Pesakit yang dirujuk akan menerima penilaian rehabilitasi oleh pakar perubatan rehabilitasi dan dirujuk kepada anggota interdisiplinari rehabilitasi neurologi yang bersesuaian berdasarkan keperluan kes. Bagi kes yang memerlukan lawatan susulan berkala, temujanji susulan akan diberi berdasarkan keperluan klinikal. Klinik Pakar Rehabilitasi Neurologi turut menyediakan perkhidmatan klinik virtual bagi pesakit luar yang memenuhi kriteria tertentu.

Perkhidmatan Pesakit Dalam disediakan di Wad 1B, HRC dan memberi fokus bagi individu yang mengalami masalah neurologi yang kompleks dan memerlukan program rehabilitasi neurologi secara komprehensif dan intensif di dalam wad. Perawatan pesakit dalam di wad diselia oleh pakar perubatan rehabilitasi bersama tenaga kerja jururawat dan ahli interdisiplinari rehabilitasi neurologi yang terlatih. Perkhidmatan Pesakit Dalam di Wad 1B mementingkan aspek ‘Enviromental Enrichment’ bagi mewujudkan pelbagai ransangan persekitaran wad yang positif. Ini mendorong ke arah tahap neuroplastisiti yang tinggi. serta meningkatkan potensi untuk pulih semasa menjalani rehabilitasi neurologi secara pesakit dalam di wad.


ANGGOTA INTERDISIPLINARI PERKHIDMATAN REHABILITASI NEUROLOGI

Anggota interdisplinari yang menyediakan perkhidmatan Rehabilitasi Neurologi terdiri daripada Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, Ketua Jururawat dan Jururawat Terlatih, Pegawai Terapi Pertuturan, Pegawai dan ahli Fisioterapi, Pegawai dan Jurupulih Carakerja, Pegawai Psikologi Klinikal, Pegawai Audiologi, Pegawai Farmasi, Pegawai Dietitik, Pegawai Kaunseling, Pegawai Kerja Sosial Perubatan dan Juruteknik Teknologi Perubatan.

Pesakit turut dirujuk untuk menerima penilaian dan intervensi Neuro-Oftalmologi, Psikiatri, Perkhidmatan Pergigian Khas dan Penjagaan Spiritual yang disediakan di Hospital Rehabilitasi Cheras jika dinilai perlu berdasarkan penilaian klinikal.


LOKASI PERKHIDMATAN REHABILITASI NEUROLOG
I

Perkhidmatan Pesakit Luar

Klinik Rehabilitasi Neurologi

Kompleks Klinik Pakar

Perkhidmatan Pesakit Dalam

Wad 1B (Rehabilitasi Neurologi)