| 28 Julai 2014 Hubungi Kami | Maklum Balas | Bantuan | Soalan Lazim | Peta Laman

Unit KMAM

 

 Program Kawalan Mutu Air Minum (KMAM) adalah merupakan satu program pengawalan mutu air minum yang dibekalkan kepada orang awam oleh pihak berkuasa air / agensi-agensi tempatan dan swasta. Program ini telah dijalankan oleh Unit Kawalan Mutu Air, Jabatan Kesihatan DBKL. Bermula Januari 2010, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya mula mengambil alih program ini. Antara agensi yang terlibat adalah SYABAS, Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar.

Antara objektif utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf kesihatan warga Kuala Lumpur dengan memastikan keselamatan dan mutu air yang dibekalkan oleh pihak pembekal air adalah selamat serta mematuhi piawaian air minum kebangsaan. Di samping itu, program ini juga adalah amat berguna sebagai mekanisma yang dapat mengesan kemungkinan berlakunya wabak penyakit bawaan air di peringkat awal.

Skop aktiviti bagi Program Kawalan Mutu Air Minum yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya di bawah Bahagian Kesihatan Awam adalah meliputi pemantauan terhadap kualiti air yang dibekalkan loji-loji pihak SYABAS sahaja. Pada tahun 2010, terdapat 5 punca air utama. Antaranya ialah :

    Course 1 – Sg Langat
    Course 2 – Loji Rawatan Air Bukit Nanas
    Course 3 – Sg Batu
    Course 6 – Sg Selangor
    Course 7 – Loji Wangsa Maju

  •  Pengawasan (Monitoring) - Persampelan air dijalankan pada setiap minggu untuk analisis mikrobiologi dan fizikal dan setiap bulan untuk analisis kimia mengikut jadual persampelan yang disediakan di awal tahun. Kesemua sampel tersebut dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Petaling Jaya untuk dianalisis kecuali untuk parameter-parameter fizikal dijalankan secara in-situ. Jika berlakunya pelanggaran terutama bagi parameter mikrobiologi dan baki klorin pihak pembekal air akan dimaklumkan dengan segera untuk tindakan pembetulan.

 

  • Kajian Kebersihan - Aktiviti kajian kebersihan dijalankan terhadap sesuatu sistem bekalan air iaitu meliputi kajian di kawasan tadahan, kajian di loji rawatan air dan kajian di kawasan retikulasi. Di dalam kajian ini, penyiasatan dan penilaian terhadap semua perkara di dalam sistem bekalan air tersebut seperti keadaan persekitaran, punca-punca pencemaran, peralatan dan teknik yang digunakan yang akan memberi kesan kepada kualiti air yang terhasil akan dikenalpasti dan pada masa yang sama, cadangan-cadangan untuk pembetulan akan digariskan jika ada. Aktiviti ini juga melibatkan beberapa agensi luar seperti Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS).

 

  • Pemprosesan Data dan Penilaian - Data-data serta semua maklumat yang berkaitan dengan aktiviti akan disimpan dan dianalisis melalui satu sistem komputerisasi iaitu Program WQS (Water Quality Surveillance) bertujuan untuk penyediaan laporan, peningkatan operasi dan pengurusan serta untuk tindakan pembetulan dan pemulihan.

 

  • Tindakan Pemulihan - Setiap pelanggaran kualiti yang berlaku akan dimaklumkan kepada pihak pengeluar air dan tindakan pembetulan dan pemulihan perlulah dilakukan dengan segera mengikut protokol dan prosedur yang telah pun ditetapkan serta dipersetujui bersama.
 

 

 Tarikh Kemaskini : 30 Mei 2014

 
 
Detect language » English