FAQ Pergigian FAQ Pergigian


8) Apa yang menyebabkan nafas berbau?
Lebih 90% kes nafas berbau berpunca dari mulut. Terdapat banyak bakteria walaupun di dalam mulut yang bersih. Bakteria ini boleh meleraikan sisa makanan dalam mulut dan menghasilkan gas yang berbau. Selain itu, masalah pergigian yang wujud didalam mulut seperti karies gigi, jangkitan gusi serta kebersihan mulut yang kurang memuaskan juga akan mengakibatkan masalah mulut berbau. Masalah kesihatan yang lain dan pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan masalah nafas berbau.


9) Bolehkah nafas berbau dirawat dan apakah rawatannya?
Ya, masalah nafas berbau boleh dirawat. Rawatan asas seperti penskaleran dan tampalan gigi boleh mengurangkan nafas berbau.


10) Berapa kerapkah saya perlu membuat pemeriksaan gigi?
Pemeriksaan gigi perlu dilakukan setiap enam (6) bulan atau sekurang-kurangnya sekali setahun.Dalam sesetengah keadaan,ianya bergantung kepada keadaan kesihatan gigi anda biasanya mengikut nasihat doktor gigi anda.


11) Kenapakah saya perlu melakukan pemeriksaan pergigian secara berkala walaupun saya tidak mempunyai masalah pergigian?
Pemeriksaan pergigian secara berkala memastikan gigi dan gusi sentiasa sihat. Doktor gigi anda akan:

  • Menunjukajar teknik memberus gigi dan kaunseling diet
  • merujuk kepada doktor perubatan atau pakar pergigian jika perlu
  • mengemaskinikan rekod pergigian dan masalah kesihatan
  • memberi rawatan ‘prophylaxis’ seperti penskaleran jika perlu
  • mengesan dan merawat masalah pergigian
  • memberi nasihat berkenaan masalah pergigian


12) Adakah cabutan gigi boleh menyebabkan buta?
Tidak, cabang saraf ke bahagian mata dan kegigian adalah berlainan.

13) Bolehkah gigi yang telah dicabut tumbuh kembali?
Jika gigi yang dicabut adalah gigi susu (desidus), maka kebiasaannya gigi kekal akan mengambil tempat gigi tersebut. Akan tetapi jika gigi kekal yang dicabut maka tiada lagi pengganti bagi gigi tersebut.


14) Adakah saya boleh makan selepas mencabut gigi?
Sudah tentu boleh. Akan tetapi pastikan pendarahan telahpun berhenti dan jika boleh kunyahlah makanan anda pada sebelah lagi rahang gigi yang tidak terlibat.


15) Berapa lamakah rasa kebas (bius) yang dirasai semasa cabutan gigi?
Sebelum prosedur cabutan gigi dilakukan, suntikan anestasia (bius) akan diberi. Ini akan menyebabkan rasa kebas pada kawasan gigi yang terlibat. Bergantung kepada jenis ubat anestesia yang diberi, rasa kebas tersebut biasanya akan dirasai selama 3-5 jam.

 

16) Apakah yang menyebabkan karies gigi atau gigi berlubang?
Karies gigi terjadi disebabkan tindakan bakteria yang terdapat didalam plak gigi, yang menghasilkan asid daripada sisa makanan. Asid yang terhasil menyebabkan hakisan permukaan gigi dan menyebabkan gigi berlubang. Pengambilan makanan manis yang berlebihan dan kebersihan mulut dan gigi yang kurang memuaskan juga akan mengakibatkan risiko kejadian karies gigi tinggi.

 

 

has-been-access-x-times
Pages: 1  2  3  4  

has-been-access-x-times